Friday 16 October 2015

SMART SCHOOL DOCUMENT REVIEW

PENGENALAN
Sekolah Bestari (Smart School) merupakan satu konsep sekolah di Malaysia. Konsep ini akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan.
Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknologi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Untuk menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam perkhidmatan. Bagi sekolah-sekolah bestari yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.
PERKEMBANGAN
Sekolah Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari adalah salah satu 'flagship' dalam Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilaksanakan menjelang tahun 2000. Tahun 1999 sebanyak 87 buah sekolah termasuk sekolah-sekolah Asrama Penuh dan sekolah pilihan harian biasa telah dipilih untuk melaksanakan Sekolah Bestari.
ASPEK PENTING
Tiga aspek penting harus ditangani dalam pelaksanaan Sekolah Bestari iaitu:
i. Menyediakan infrastruktur pelbagai media.
ii. Latihan bagi guru-guru amat penting.
iii. Bahan kursus yang baru, kemaskini, dan mencukupi perlu disediakan.
KONSEP SEKOLAH BESTARI
Pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal konsep Sekolah Bestari berpusatkan pengajaran dan pembelajaran berpemikiran kritis dan kreatif. Teknologi sebagai pengupaya menjadi komponen penting dalam konsep Sekolah Bestari apabila Projek Sekolah Bestari diwujudkan sebagai satu daripada Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia.
Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dan segi proses pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu murid menghadapi cabaran Zaman Maklumat. Proses pengajaran-pembelajaran, iaitu proses berkaitan dengan kurikulum, pedagogi, pentaksiran, dan bahan pengajaran-pembelajaran, akan direka semula untuk membantu murid belajar dengan lebih berkesan dan cekap. Sekolah Bestari akan mendorong murid mengamalkan pembelajaran akses kendiri dan terarah kendiri, serta mengikut kadar pembelajaran sendiri.
OBJEKTIF SEKOLAH BESTARI
Objektif Sekolah Bestari Malaysia adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan terdiri daripada yang berikut:
• Menghasilkan tenaga kerja yang berpemikiran dan celik teknologi
• Mendemokrasikan pendidikan
• Meningkatkan penyertaan pihak yang berkepentingan
• Memupuk perkembangan menyeluruh individu
• Memberi peluang untuk peningkatan kekuatan dan keupayaan individu
KEGAGALAN SEKOLAH BESTARI
Kajian yang dijalankan terhadap guru-guru bagi sekolah yang menyertai Sekolah Bestari menyatakan bahawa latihan dalaman guru-guru mata pelajaran adalah kurang berjaya dalam mencapai objektif. Majoritinya menyatakan latihan dalah tidak mencukupi dalam membantu guru-guru mengaplikasikan prinsip SSIS.
Kekurangan dalam latihan terhadap guru-guru yang baru seperti guru yang baru ditempatkan di Sekolah Bestari berkenaan juga merupakan satu masalah.
Penyelaras program ini kadang-kadang tenggelam timbul bila guru-guru menghadapi masalah.
Kebanyakan sekolah melaporkan bahawa kelengkapan di dalam makmal komputer juga tidak lengkap dan tidak mencukupi bagi kegunaan pelajar. Masalah perkakasan yang berkaitan dengan LAN, internet dan sebagainya.
Telekom Malaysia menjadi kontraktor utama membekalkan infrastruktur telekomunikasi kepada Projek SchoolNet yang terdiri daripada perkakasan, perisian, perisian sistem dan peralatan bukan-IT melalui anak syarikat Telekom SmartSchool Sdn. Bhd.
Talian SchoolNet yang dibekalkan mengalami banyak masalah terutama capaian internet. Capaian internet dikatakan kerap terganggu, terputus beberapa kali sehari menjadi perkara biasa ditambah pula dengan kelembapan untuk melayari internet.
Mulai tahun 2012, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menamatkan perkhidmatan talian SchoolNet secara berperingkat. Selepas itu, kerajaan menganugerahkan projek 1BestariNet kepada YTL Communications Sdn. Bhd. untuk menyediakan akses internet dan pembelajaran maya. Talian yang menggunakan teknologi 4G atau tanpa wayar telah diperkenalkan ke seluruh negara. Semasa pengujian pada bulan Mac 2012 kelajuan sungguh luar biasa. Tetapi kemudiannya kelajuan capaian internet kerap terputus. Apabila hujan, ia tidak dapat digunakan. Malah, ianya lebih teruk daripada zaman SchoolNet.
KESIMPULAN
Secara peribadinya, saya sangat setuju dengan pelaksanaan Sekolah Bestari ini sekiranya pihak yang telah dipertanggungjawabkan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Ini sangat membantu pelajar-pelajar bagi menghadapi suasana pembelajaran masa kini dan ke hadapan. Namun begitu, kegagalan pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan tanggungjawabnya menyebabkan berlakunya kegagalan seperti ini dan sangat merugikan pelajar-pelajar kita sedangkan kos dan perbelanjaan sangat banyak telah dibelanjakan.

No comments:

Post a Comment